Searching...
Wednesday, 29 October 2014
06:23 0

Jangan kurang ajar dengan kakitangan MAS - MASEU


Nampaknya kemelut antara Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysian Airline System Berhad (MASEU) dan pengurusan tertinggi MAS semakin panas ekoran pertikaian berhubung pertemuan antara Malaysia Airline System Berhad (MAS) serta kesatuan dan persatuan kakitangan syarikat penerbangan itu.
Semua itu timbul selepas MASEU mendakwa tidak dijemput oleh pengurusan MAS untuk taklimat berhubung cadangan penstrukturan semula syarikat penerbangan kebangsaan itu.
Bagaimanapun, MAS melalui Naib Presiden dan Ketua Komunikasi Strategiknya, Datuk Najmuddin Abdullah pula memberitahu, MAS telah menelefon semua wakil kesatuan dan persatuan kakitangan untuk tujuan tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu, Presiden MASEU, Alias Aziz berkata, Najmuddin telah membuat satu pembohongan besar kepada lebih 13,500 orang kakitangan MAS dan rakyat Malaysia.
Alias yang sudah menerajui MASEU sejak 20 tahun lalu berkata, menelefon wakil kesatuan dan persatuan MAS untuk memaklumkan apa sahaja mesyuarat bukan budaya syarikat penerbangan itu dan ia tidak pernah berlaku sama sekali.
Pada kebiasannya, sebarang jemputan mesyuarat akan dilakukan melalui emel oleh Pengurus Perhubungan Perusahaan atau Naib Presiden Perhubungan Perusahaan MAS.
"Sekarang anda tengoklah 'permainan' pengurusan MAS terhadap MASEU. Adakah satu mesyuarat penting yang berkaitan dengan masa depan kakitangan MAS dibuat dengan panggilan telefon sahaja?
"Mengapa pengurusan tidak menghantar perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). "Apapun, saya tidak menerima sebarang panggilan untuk memberitahu tentang taklimat itu. Ini semua jalan mudah. Saya minta Najmuddin buktikan yang beliau ada menelefon saya atau mana-mana wakil MASEU. Jangan bohong kepada kakitangan MAS, jangan tipu rakyat Malaysia.
"Jangan kurang ajar dengan 13,500 kakitangan MAS, jangan sengaja wujudkan suasana tegang," katanya kepada MalaysiaGazette sambil tidak menolak kenyataan Najmuddin itu boleh memberi imej tidak baik terhadap MASEU.
Dengan nada tenang, Alias berharap dan meminta kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan agar menilai semula tahap pengurusan sedia ada.
"Cukup-cukuplah letak barisan pengurusan yang ada. Inilah yang kami rasa, lantaran itu kami terpaksa bersuara. Sebab masalah pengurusan juga yang menyebabkan MAS rugi," ujarnya.
Alias tidak menolak kemungkinan barisan pengurusan dalam keadaan tertekan untuk mendapatkan sokongan dalam pelaksanaan pelan penstrukturan MAS seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, lantaran itu tidak menjemput MASEU.
Najib dalam kenyataan media berhubung penstrukturan semula MAS mengarahkan proses tersebut mesti dilakukan secara profesional, adil, telus dan sesungguh hati.
Jelas Perdana Menteri, proses pemulihan MAS pastinya memerlukan pengorbanan serta melalui jalan yang menyakitkan namun terpaksa dilalui demi menyelamatkan syarikat penerbangan itu.
Justeru, Najib meminta semua pihak iaitu pihak pengurusan, kakitangan, kesatuan sekerja, pemberi pinjaman dan vendor bersama-sama penumpang serta rakyat Malaysia merapatkan barisan dan bekerjasama bagi memastikan hasrat untuk melihat MAS pulih semula dapat dicapai.
Sedangkan, Alias berkata, MASEU sejak sejarah kewujudannya tidak pernah melawan arus seandainya langkah-langkah atau keputusan MAS logik, benar dan realistik serta membawa faedah kepada kakitangan.
"Pengurusan MAS datang dan pergi tetapi bagi kakitangan MAS, seteruk atau seburuk mana sekalipun syarikat ini, di sinilah tempat kami mencari rezeki.
"Pengurusan MAS mungkin khuatir MASEU membantah, sebab itu kami tidak dihubungi, tidak dijemput dalam sesi taklimat itu.
"Tapi pengurusan MAS lupa, kegagalan mereka memanggil MASEU bermakna hak bersuara lebih 13,500 orang kakitangan MAS telah dinafikan," tegas Alias.
Presiden MASEU itu menambah, pihaknya tidak akan membuat apa-apa tindakan, melainkan tunggu dan melihat sahaja tindak-tanduk dan rentak pengurusan MAS berhubung isu ini. - MalaysiaGazette

0 comments:

Post a Comment